.

Thursday, January 28, 2010

Boleh Mendoakan Laknat Ke Atas Penzalim

Boleh Mendoakan Laknat Ke Atas Penzalim

December 1st, 2009

MUQADDIMAH :

Orang zalim boleh diumpat dan didedahkan keburukannya bahkan berdoa untuk memusnahkannya dibenarkan oleh syarak, tetapi awas kepada sesiapa yang melaknat orang tertentu kerana kita tidak tahu bagaimna akhir nyawanya, boleh jadi dia akan mati dalam keadaan iman. Adapun melaknat seorang hakim yang zalim, jika dengan laknat itu akan menyebabkan fitnah, maka ianya ditegah.

Hiasan semata

Hiasan semata

Kezaliman wajib dijauhkan dari umat islam begitu juga dari kelompok manusia bukan islam. Zalim itu kegelapan. Tidak ada sesuatu yang lebih menyeksa jiwa selain perbuatan zalim. Sabda Nabi S.A.W :

“Takutlah kamu akan kezaliman kerana kezaliman itu adalah kegelapan pada hari kiamat”

Sesiapa yang tidak mampu menghalang kezaliman dengan tangannya atau dia mampu tetapi akan menyebabkan akibat yang lebih buruk atau pertumpahan darah, maka tidak mengapa dibiarkan kezaliman itu dan hendaklah dalam keadaan itu dia berdoa kepada Allah agar dimusnahkan penzalim tersebut. Itulah senjata yang selayaknya. Doa orang yang dizalimi pada pertengahan malam tidak ditolak oleh Allah S.W.T. Dan panahan diwaktu malam tidak akan tersasar. Ditegaskan sekali lagi di sini bahawa mengumpat orang yang berlaku zalim tidaklah berdosa malah lebih dituntut dan hukumnya sunat demi untuk mengingatkan orang lain agar berhati hati dengan kezalimannya. Firman Allah S.W.T :

«لا يحب الله الجهر بالسوء من القول الا من ظلم وكان الله سميعا عليما»،

Ayat di atas bermaksud tidak menjadi kesalahan memperbesarkan sifat zalim seseorang dan tidak mengapa mendoakan kebinasaannya samaada secara diam-diam atau terang terangan. Sabda Nabi S.A.W :

ثلاثة لا غيبة فيهم: الفاسق المعلن بفسقه، وشارب الخمر، والسلطان الجائر

Ertinya : Tiga golongan yang boleh untuk diumpat ialah : 1) Orang fasik yang menampakkan kefasikannya secara terang terangan. 2) Peminum arak. 3) Pemerintah yang menindas.


HUKUM DOA LAKNAT :

Ulamak berselisih pendapat berkenaan hukum melaknat orang islam yang fasik atau zalim.

Pendapat pertama iaitu pendapat yang terpilih : Tidak dibolehkan . Dalil yang menjadi sandaran kepada pendapat ini ialah Hadis Nabi S.A.W yang menceritakan tentang seorang peminum arak yang berkali-kali dihadapkan kepada Baginda. Lalu berkatalah beberapa orang yang berada bersama Nabi : Ya Allah laknatkanlah peminum arak ini kerana telah banyak kali kesalahan yang dilakukannya. Mendengarkan itu Nabi pun bersabda :

“Demi Allah setakat yang aku tahu, dia adalah seorang yang menyintai Allah dan Rasulnya”

Pendapat ini dipegang oleh Mazhab Hanafi, Syafii, Hanbali dan satu pendapat dari Mazhab Maliki.

Pendapat kedua : Dibolehkan walaupun dengan menyebut nama seseorang. Pendapat ini bersandarkan kepada dalil bahawa Nabi S.A.W membaca doa qunut yang berbunyi

اللهم العن فلانا وفلانا لاحياء من العرب

Pendapat ini juga mengatakan tidak boleh minta laknat ke atas orang bukan islam yang tertentu (disebut namanya) kerana tidak diketahui bagaimana keadaannya bila meninggal dunia kelak, boleh jadi dia akan mati sebagai orang islam. Firman Allah S.W.T :


ان الذين كفروا وماتوا وهم كفار اولئك عليهم لعنة الله والملائكة والناس اجمعين

Ertinya : “ Orang-orang kafir yang telah mati Dalam keadaan kufur, mereka mendapat laknat Allah, para Malaikat dan manusia seluruhnya”

Ayat di atas membawa maksud bahawa orang-orang yang mati dalam keadaan beriman tidak akan mendapat laknat.

Pendapat ketiga : Dibolehkan dengan syarat orang-orang yang diminta laknat itu tidak disebutkan nama mereka. Pendapat ini mengambil dalil apabila Nabi S.A.W meminta laknat ke atas orang-orang yang menyambung rambut(pemilik kedai) dan yang meminta disambungkan rambut(pelanggan).Rambut yang dimaksudkan ialah rambut palsu.

KESIMPULAN :

Berdasarkan perbahasan di atas dapatlah disimpulkan bahawa mendedahkan keaiban hakim( tidak termasuk pemerintah ) yang zalim atau minta laknat ke atasnya berbeza hukumnya berbanding orang biasa(termasuk pemerintah). Bagi seseorang hakim, dia ada beberapa perkara yang tidak ada pada orang lain. Walaupun secara asasnya mendedahkan keburukan hakim adalah dibolehkan, tetapi jika dengan pendedahan itu akan membawa kepada kerosakan dan huru hara maka ianya tidak dibolehkan. Tindakan ke atas hakim tersebut hendaklah diserahkan kepada orang yang berkelayakkan sahaja secara rahsia.

Sumber – http://www.alqabas.com.kw/Article.aspx?id=514298

ISU SEMASA

Jika dikaitkan permasalahan di atas dengan isu yang ditimbulkan sekarang ini di mana Tok Guru Nik Aziz Nik Mat diserang oleh pelbagai pihak yang mengatakan bahawa tidak sepatutnya beliau meminta laknat ke atas kerajaan semasa, maka tindakkannya itu termasuk dalam kategori pendapat kedua. Dari segi hukum, tidak menjadi kesalahan kepadanya di atas tindakan beliau itu kerana dia boleh memilih pendapat mana yang dia suka dan pendapat itu ada sandaran Nas yang boleh diterima menurut islam.Wallahu A’lam.



No comments: