.

Sunday, January 30, 2011

Zakat Emas dan Perak

Zakat Emas dan Perak PDF Cetak E-mail


· Emas dan perak adalah logam galian yang berharga kurniaan Allah SWT. Ia merupakan hasil bumi yang banyak manfaat kepada manusia dan manusia pula menjadikannya nilai tukaran wang bagi segala sesuatu.

· Sementara syariat pula mengibaratkan emas dan perak sebagai sesuatu kekayaan alam yang hidup dan berkembang. Syariat juga telah mewajibkan kedua-duanya boleh digunakan dalam bentuk wang atau kepingan, bekas bejana, cenderamata, ukiran atau perhiasan. Zakat diwajibkan ke atas pihak yang memiliki emas dan perak apabila sampai nisab dan telah cukup haul setahun.

Emas
Dalil Wajib Zakat Emas dan Perak:-
Firman Allah SWT : Maksudnya
"...Dan (ingatlah) orang yang menyimpan emas dan perak serta tidak membelanjakannya pada jalan Allah, maka khabarkanlah kepada mereka dengan (balasan) azab seksa yang tidak terperi sakitnya."
(Surah at-Taubah : 34)

Terdapat 2 keadaan untuk pembayaran zakat emas.

· Emas Yang Disimpan

Emas disimpan membawa maksud emas yang tidak dipakai walaupun sekali dalam tempoh setahun . Jika emas itu menyamai atau melebihi kadar nisab (85 gram), maka diwajibkan zakat ke atasnya sebanyak 2.5% atas nilai emas sahaja.

Contoh : emas yang disimpan bernilai RM 10,000 (nilai emas semasa) x 2.5% (kadar zakat)= RM250.00 (zakat wajib dibayar)

· Emas Yang Dipakai

Emas yang dipakai sebagai perhiasan oleh wanita sama ada sekali-sekala atau secara berterusan tidak dikenakan zakat sekiranya ia tidak melebihi URUF (nilai pemakaian setempat yang dibenarkan). Penggunaan URUF ini banyak digunakan oleh pelbagai golongan khususnya bersandarkan kepada Imam An-Nawawi yang berpegang kepada mazhab Asy-Syafie. Sebagai panduan, buat masa ini kadar URUF yang digunakan di Pulau Pinang adalah sebanyak RM 5,000.

Contoh: Seorang wanita yang memiliki dan memakai emas sebagai perhiasan diri bernilai RM 10,000, maka zakatnya ialah sebanyak:
RM10,000 X 2.5% = RM 250.

Hanya berat/harga emas dikira untuk pengiraan zakat tanpa mengambil kira batu-batu permata, berlian, delima, zamrud dan lain-lain.

· Perak

Wajib zakat pada perak lima auqiyah. [satu auqiyah=40 dirham. (5 x 40 = 200 dirham)].
Ijma' ulama' telah menetapkan nisab perak sebanyak 200 dirham iaitu bersamaan 595 gram.

No comments: